BATALION KEDUA PULUH EMPAT
REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA
SEJARAH BATALION KEDUA PULUH EMPAT
REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA
PERIHAL PENUBUHAN ASAL
1. Latar Belakang Membawa Kepada Penubuhan Unit. Batalion Kedua Puluh Empat Rejimen Askar Melayu Diraja pada asalnya adalah Batalion Ke Dua Belas Askar Wataniah Malaysia, tanpa kerahan. Batalion Ke Dua Belas Askar Wataniah pula asalnya dari Tentera Tempatan Persekutuan (LDC) di tubuhkan pada tahun 1959 di Negeri Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1961 pasukan ini telah disusun semula dan dinamakan Batalion 12 MTA. Pegawai Memerintah yang pertama adalah DYMM Sultan Pahang, Lt Kol Tengku Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar yang mana pada masa itu baginda adalah DYMM Tengku Mahkota Pahang. Pada tahun 1963, sesuai dengan ancaman, batalion ini telah pun dikerahkan sepenuh masa.
2. Setelah tamat darurat pertama negara ini dalam tahun 1957, pihak kerajaan telah banyak mengurangkan anggota-anggota Pasukan Keselamatan. Oleh demikian, pada tahun 1958 ’HOME GUARD’ telah dibubarkan dan digantikan dengan pasukan Tentera Tempatan Persekutuan. Pasukan ini ditubuhkan, adalah untuk membantu Tentera-Tentera Tetap.
3. Pada awal 1959, sebanyak tiga batalion Tentera Tempatan Persekutuan (TTP) telah ditubuhkan di dalam negeri Pahang mengikut kawasan-kawasan berikut:
a. Batalion Pertama TTP telah ditubuhkan pada bulan Mac 1959 di Kuantan dan Pekan.
b. Batalion Kedua TTP telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1959 di kawasan Kuala Lipis, Raub dan Jerantut.
c. Batalion Ketiga TTP telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1959 di Temerloh, Mentakab, Bentong, Karak dan Triang.
4. Pada 16 Okt 1961, ketiga-tiga batalion TTP negeri Pahang ini telah disusun semula, yang mana ianya telah dijadikan satu Batalion Infantri Askar Wataniah. Batalion ini terdiri daripada 5 kompeni sebagai penubuhan askar infantri biasa. Penempatan kompeni-kompeni ini telah ditempatkan di kawasan seperti berikut:
a. Kompeni A - Kuantan.
b. Kompeni B - Pekan.
c. Kompeni C - Kuala Lipis.
d. Kompeni D - Raub.
e. Kompeni M - Temerloh.
5. Sebaik sahaja konfrantasi meletus antara Malaysia dengan Republik Indonesia, batalion ini telah dikerahkan untuk berkhidmat sepenuh masa atau ‘ ACTIVE SERVICE’, kerahan ini dibuat berperingkat seperti mana yang dinyatakan:
a. Kerahan pertama telah dibuat pada bulan Mac 1964, ini sekadar satu platun sahaja dikerahkan dan dihantar ke Kem Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan dibawah perintah 2 RAMD, dimasa itu platun ini ditugaskan untuk mengawal beberapa tempat Sasaran Penting (‘Key Point’) di Kelantan.
b. Kerahan kedua telah dibuat pada 4 Sep 1964 dimana semua kompeni telah dikerahkan untuk berkhidmat sepenuh masa menjadikan satu batalion
KHIDMAT SEPENUH MASA
6. Pasukan ini telah mula diarahkan untuk berkhidmat sepenuh masa pada tahun 1964, berlanjutan daripada keadaan keselamatan yang terancam pada masa tersebut dimana tercetusnya konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia. Pada ketika itu pasukan-pasukan tetap telah diletakkan dalam keadaan siap sedia serta merta, malah kebanyakan dari pasukan tetap telah berada dibarisan hadapan. Walaupun kerahan ini dibuat di atas keadaan yang mendesak, ianya dapat dijalankan dengan sempurna.
7. Memandangkan keadaan keselamatan yang amat memerlukan setiap anggota sentiasa berkebolehan dan mantap. Selepas dua hari pasukan ini dikerahkan sepenuh masa, satu latihan infantri selama 7 minggu telah diikuti oleh seluruh anggota. Latihan kelompok yang bermula dari 6 Sep 1964 ini diadakan di Kem Batu 5 Mentakap, Pahang dikelola oleh Rejimen Pertama Peninjau. Hasil dari latihan tersebut amat menggalakkan dan pasukan ini telah diberi kepercayaan bagi menjalankan tugas-tugas operasi selanjutnya dan taraf keupayaan juga diletakkan setanding dengan pasukan tetap infantri yang lain.
8. Sebagai ujian awal untuk menguji kebolehan anggota-anggota dalam pasukan, kompeni-kompeni repal telah didampingi dengan beberapa buah pasukan tetap infantri. Ini bertujuan untuk menyesuaikan diri mempelajari tugas-tugas operasi. Penglibatan pasukan ini kepada pasukan tumpangan adalah seperti berikut:
a. Kompeni A ditumpangkan kepada 3 BIM (sebelum Markas 3 BIM berpindah ke Sarawak).
b. Kompeni B dan Kompeni C ditumpangkan kepada Batalion Ke - 2 RAMD, Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu,
Kelantan.
c. Kompeni D ditumpangkan kepada Rejimen Pertama Peninjau di Mentakab, Pahang. Kem sementara di Sungai Rabit Temerloh Pahang pula diduduki oleh Markas Batalion dan Kompeni Markas.
9. Setelah mempelajari dan mendapat beberapa pengetahuan semasa operasi penyesuaian diri, pada bulan Julai 1966 pasukan ini telah diarahkan dalam bentuk satu pasukan untuk mengambil alih tugas gerakan Ops Kota di Kelantan daripada 5 RAMD. Disini bermulanya ujian terhadap semua pegawai dan anggota menjalankan tugas masing-masing mengikut keperluan operasi. Kebolehan dalam mengendalikan tugas-tugas gerakan telah menyakinkan lagi pihak atasan terhadap perlunya pasukan ini dikumpulkan di satu kem yang baik dan sempurna. Dalam bulan Mac 1966 sebuah kem yang cantik telah disiapkan dan pasukan ini pada masa yang sama terus berpindah dari Temerloh ke Kem Seberang Takir Kuala Terengganu. Pada 14 Julai 1973 DYMM Tuan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Zainalahidin (Sultan Terengganu) telah berkenan untuk merasmikan Batu Asasnya dan menamakan kem baru ini sebagai Kem Seri Pantai.
10. Dimasa yang sama juga keadaan keselamatan di Sarawak tidaklah begitu terkawal. Kumpulan-kumpulan musuh dari Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) amat aktif dan agerasif sekali, disamping beberapa pasukan tetap infantri yang sedang bertugas di Sarawak pada masa itu, keperluan terhadap tambahan tentera amatlah dikehendaki. Oleh itu buat pertama kalinya pasukan ini telah diarahkan pada bulan Julai 1969 untuk membantu menghapuskan PKKU dari Bumi Kenyalang. Penempatan pertama adalah di Kem Balai Ringan, di Serian dan Bau.
11. Pegawai-Pegawai Memerintah 12 MTA.
a. DYMM Tengku Mahkota Pahang Lt Kol Tengku Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar. - mulai 1961 hingga 1965.
b. Majer A.B.O Merican - mulai 1965 hingga 1965.
(Memangku Jawatan Pegawai Memerintah)
c. Majer Khalid - mulai 1965 hingga 1966.
(Memangku Jawatan Pegawai Memerintah)
d. Lt Kol Ahmad bin Ali - mulai 1966 hingga 1969.
e. Lt Kol Sabaruddin bin Sulaiman - mulai 1969 hingga 1970.
f. Lt Kol Mohd Noor bin Abd Malek - mulai 1970 hingga 1976.
g. Lt Kol Jaafar bin Sidek - mulai 1976 hingga 1977.
h. Lt Kol Rosli bin Dato Bendahara - mulai 1977 hingga 1978.
i. Lt Kol Wan Idris bin Wan Mustapha - mulai 1978 hingga 1980.
12. Pada 1 Mac 1979, Batalion Ke Dua Belas Rejimen Askar Wataniah ini telah dibubarkan dan diberi mandat serta kepercayaan untuk diproklamasikan sebagai Batalion Kedua Puluh Empat Rejimen Askar Melayu Diraja. Dimana anggota yang layak diserap masuk bagi mereka yang berumur 37 tahun kebawah dan anggota yang berumur lebih dari yang dihadkan telah ditukarkan ke Bn Askar Wataniah yang lain. Dengan penyerapan ini batalion telah mengalami kekurangan anggota, oleh demikian untuk mengatasi masalah ini rekrut-rekrut baru yang dilatih di PD Garison telah dihantar ke pasukan ini dan juga pengambilan rekrut-rekrut baru oleh pasukan dilaksanakan. Semasa di Kem Seberang Takir pasukan telah berjaya melatih seramai 65 orang anggota rekrut baru yang mana latihan dijalankan selama 6 bulan mulai 14 Mei hingga 10 Nov 1979.
13. Acara proklamasi ini telah diadakan di dalam satu perbarisan di Stadium Angkatan Tentera, Kuala Lumpur. Kem pertama yang diduduki oleh 24 RAMD di Kem Semenggo, Kuching, Sarawak pada 26 Dis 1979. Pegawai Memerintah pertama adalah Lt Kol Wan Idris bin Wan Mustafa mula memerintah pada 1 April 1978 dan sehingga kini seramai 14 Pegawai Memerintah telah memimpin pasukan ini serta 12 Sarjan Mejar Rejimen. Kuasa penubuhan seperti berikut:
a. Tarikh dan Masa Penubuhan. Pada 1 Mac 1979, sesuai dengan rancangan istimewa dan perkembangan ATM, 12 MTA telah dijadikan sebagai Batalion Kedua Puluh Empat Rejimen Askar Melayu Diraja.
b. Tempat Penubuhan. Perbarisan bersejarah ini telah diadakan di Stadium Angkatan Tentera Kuala Lumpur.
c. Kuasa Penubuhan. FED/(M)/3000/6/72 bertarikh 1 Mac 1979.
d. Kekuatan Pegawai dan LLP Semasa Penubuhan. 30 Pegawai dan 348 LLP.